Program

Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan

Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) merupakan program khas yang diperkenalkan oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara melalui perutusan semasa Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 bagi memberi pengiktirafan ke atas tadbir urus terbaik di peringkat Kementerian, Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan, Jabatan Persekutuan Peringkat Negeri dan Jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Tujuan pelaksanaan AKKP adalah untuk mewujudkan persaingan bagi meningkatkan komitmen Ketua Jabatan dan Pegawai Keselamatan Jabatan agar sentiasa konsisten dalam mengamal, melaksana dan menguatkuasakan keselamatan perlindungan di tahap yang terbaik sehingga diberi pengiktirafan di peringkat tertinggi.

Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan

Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan merupakan platform yang memberi ruang kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP), Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) dan pemilik / penghuni Sasaran Penting dalam perkongsian maklumat dan idea kepada langkah-langkah menangani isu berhubung Sasaran Penting Negara.

Objektif Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan adalah seperti berikut:

• Merangka dasar dan strategi pengurusan sasaran penting bedasarkan Arahan Tetap Sasaran Penting selaras dengan perubahan arus perdana dunia siber dan teknologi semasa;

• Menambah baik dasar-dasar perundangan berkaitan Sasaran Penting dan Kawasan Larangan dan Tempat Larangan yang melibatkan 13 sektor utama; dan

• Memberi kefahaman kepada semua Ahli JPSP, JSPN dan pemilik / penghuni berhubung pengurusan Sasaran Penting.

Konvensyen Keselamatan Perlindungan

Konvensyen Keselamatan Perlindungan merupakan program yang dianjurkan khas bagi memberi pendedahan dan informasi kepada agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan aspek keselamatan perlindungan seiring dengan perkembangan semasa. Selain itu, konvensyen ini turut menjadi platform bagi Pegawai Keselamatan Jabatan daripada pelbagai agensi untuk bertukar pandangan dan membentuk jaringan kerjasama serta menjadi platform majlis penyampaian Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan yang dilaksanakan secara dwitahunan.