CGSO

Warna Font      
Saiz Tulisan A A +A
  1. Laman Utama
  2. »
  3. Info CGSO
  4. »
  5. Perutusan

Perutusan

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh dan Salam Malaysia Madani.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita diberikan kesempatan untuk melangkah masuk ke Tahun Baharu 2025 ini. Tahun 2024 telah berlalu dengan begitu pantas dan kini kita telah melangkah ke tahun baru 2025 yang akan membuka satu lagi lembaran baharu dalam kehidupan kita.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita berjaya mengharungi cabaran hebat sepanjang tahun 2024 dengan penuh keazaman dan kecekalan. Di sebalik cabaran-cabaran, suka untuk saya mulakan ucapan ini dengan merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan – kejayaan CGSO sepanjang tahun 2024.

Ini semua adalah bukti komitmen dan kualiti kerja warga CGSO yang bersama-sama menjayakan dasar-dasar Kerajaan. Saya amat berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian ini dan berharap agar momentum kejayaan ini dapat diteruskan pada tahun 2025.

Antara peristiwa penting CGSO yang dilakarkan pada tahun 2024 adalah Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Keselamatan Perlindungan Tahun 2024 dan Program Hari Terbuka CGSO Tahun 2024. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga CGSO yang telah memberikan sumbangan yang amat bermakna pada tahun lalu sehingga kita dapat melakar kejayaan-kejayaan tersebut. Pengiktirafan dan kejayaan ini sudah pasti tidak datang bergolek tetapi ia datang dengan perancangan, kerjasama dan pelaksanaan kerja yang teliti dan mantap oleh setiap pihak, baik Pengurusan Tertinggi, pegawai serta kakitangan daripada semua bahagian dan unit.

Dalam kita melangkah ke tahun 2025, penjawat awam perlu sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Membangunkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi hanya akan dapat dicapai dengan adanya warga Jabatan yang berkemahiran memimpin, berdaya fikir positif dan bermandiri menghadapi cabaran. Tahun baru ini pastinya membawa cabaran-cabaran baharu yang kita perlu tempuh bersama.

Sesungguhnya tahun 2025 dijangka akan memberi cabaran yang lebih besar. Oleh yang demikian, warga CGSO akan bersama-sama mengharungi segala badai, mehnah dan tribulasi sepanjang tahun 2025 ini.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan warga CGSO khususnya. Semoga semua warga CGSO yang dikasihi terus beriltizam dan beristiqamah untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dengan lebih cemerlang dan berintegriti. Marilah kita sama-sama berganding bahu dan melangkah ke hadapan agar apa yang direncana dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya bagi membuktikan keupayaan CGSO dalam memastikan Keselamatan Perlindungan Negara terus terjamin. Semoga usaha kita diberkati dan dipermudah, insyaAllah.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah.
Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DATUK MAS RIZAL BIN MOHD HILMI
Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan
Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO)
Jabatan Perdana Menteri